LAWATAN DAN TINJAUAN DYTM RAJA MUDA KEDAH DAN RAJA PUAN MUDA KEDAH KE KAWASAN BANJIR DI DAERAH BALING.
9 Julai 2022 - BALING : Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehudin, Raja Muda Kedah dan Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Binti Mohamad Ariff, Raja Puan Muda Kedah, telah perkenan berangkat mencemar duli mengadakan lawatan ke kawasan dilanda musibah banjir dan menziarahi mangsa bencana di daerah Baling .
Dalam lawatan tersebut, DYTM Tuanku berdua perkenan berangkat mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Baling dan Ketua Polis Daerah Baling di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang terletak di hadapan Tadika KEMAS Kampung Bendang Bechah.
Sejurus selepas taklimat tersebut, DYTM Tuanku berdua dibawa melawat tempat kejadian di Kampung Iboi yang teruk terjejas dan menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada keluarga yang terkesan.
Dalam lawatan ke kampung tersebut, DYTM Tuanku berdua turut perkenan berangkat menyeberangi sungai menggunakan Jambatan Bailey yang baru disiapkan pembinaannya. Selain itu, DYTM Tuanku berdua turut disembah maklum oleh Pengarah JPS Negeri Kedah bahawa Jabatan ini sedang dalam tindakan melaksanakan kerja-kerja pembersihan, pembaikan dan pengukuhan tebing Sungai Kupang yang terkesan akibat banjir. DYTM Tuanku juga telah menitahkan Jabatan ini agar sistem amaran awal banjir diperkasakan bukan sahaja di daerah Baling malah meliputi seluruh daerah di Negeri Kedah.
Turut berangkat bersama dalam lawatan tersebut ialah kedua-dua anakanda baginda Yang Teramat Mulia Tunku Zara Bahiyah dan Yang Teramat Mulia Tunku Sulaiman Badlishah.