Soalan Lazim
Di mana harus saya laporkan setinggan yang menduduki Rezab Sungai?
Jika anda mendapati setinggan mula menjajah kawasan Rezab Sungai, dan dengan itu menyebabkan kekotoran dan pencemaran sungai; anda boleh menghubungi JPS dengan segera. JPS akan mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk mengeluarkan setinggan tersebut secepat mungkin.
Di mana harus saya adukan sampah sarap di dalam longkang?
Sila rujukkan perkara ini kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan longkang-longkang berkenaan.
Di mana harus saya adukan masalah pencemaran sungai?
Kami amat hargai sebarang maklumat berkenaan sebab dan punca pencemaran sungai. Oleh kerana JPS bukanlah badan penguatkuasa kawalan pencemaran, kami akan rujukkan hal-hal penguatkuasaan kepada Jabatan Alam Sekitar.
Bagaimanakah caranya untuk memohon Jambatan Pejalan Kaki?
JPS kerap menerima permohonan untuk membina Jambatan Pejalan Kaki atau Jambatan Ringan untuk kemudahan penduduk tempatan. Sila menulis kepada Pegawai Perhubungan Awam kami di pejabat JPS berkaitan. Apabila menghubungi pegawai kami, sila sertakan nombor telefon anda.
Bolehkah sesiapa memohon untuk menggunakan tanah Rezab Sungai?
Secara amnya, JPS tidak menggalakkan permohonan untuk menggunakan tanah yang telah diwartakan sebagai Rezab Sungai kerana kami memerlukan ruang berkenaan untuk keluar-masuk melakukan kerja-kerja baik-pulih kecemasan dan penyelenggaraan sungai. Walau bagaimana pun, kami mungkin mempertimbangkan permohonan-permohonan tertentu atas dasar kes ke kes.
Di mana boleh saya dapatkan Data Hujan dan Aliran Sungai?
Maklumat ini diterbitkan setiap tahun oleh Bahagian Hidrologi JPS di cawangan Jalan Ampang (tel: 03-42562657). Bahagian Hidrologi kini sedang membina sebuah sistem pangkalan data yang dinamakan Sistem Maklumat Hidrologik (HIS : Hydrologic Information System) yang mampu membekalkan maklumat secara atas talian. JPS juga mengumpulkan maklumat berkenaan kualiti air terutamanya berkenaan penerapan sedimen. Untuk maklumat lanjut sila rujuk ke http://h2o.water.gov.my.
Di mana harus saya adukan masalah saliran atau banjir kilat tempatan?
JPS dan Pihak Berkuasa Tempatan adalah sama-sama bertanggung jawab ke atas hal-hal berkaitan saliran. Secara amnya Pihak Berkuasa Tempatan bertanggung jawab di dalam pembinaan dan penyelenggaraan sistem peparitan tempatan iaitu longkang-longkang utama dan sekunder. JPS pula bertanggung jawab terhadap sungai-sungai yang mungkin mengalir di dalam atau di luar kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.
Banjir yang disebabkan oleh longkang-longkang yang tersumbat jatuh di bawah tanggung jawab Pihak Berkuasa Tempatan. Banjir yang disebabkan oleh sungai dan longkang yang melipah kerana kapasiti yang tidak mencukupi selalunya berada di bawah bidang kuasa JPS. Jika terdapat sebarang keraguan, sila hubungi Pejabat Perhubungan Awam JPS yang berdekatan. JPS mempunyai Pejabat Perhubungan Awam di setiap negeri.
Adakah JPS bertanggung jawab terhadap masalah air paip?
JPS tidak bertanggung jawab ke atas pembekalan air domestik atau industri kerana bidang JPS hanya meliputi pengairan untuk para petani. Sila hubungi pihak berkaitan seperti Pihak Berkuasa Air Negeri, Jabatan Kerja Raya atau syarikat/majlis berkenaan yang bertanggung jawab ke atas bekalan air di kawasan anda.